Ahad, 4 Disember 2011

Perkembangan pembelajaran matematik

Artikel ini menerangkan secara ringkas mengenai perkembangan pembelajaran matematik di kalangan kanak-kanak menerusi beberapa teori yang diketengahkan oleh pakar-pakar pembelajaran antaranya ialah Teori Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes. Seterusnya, para pembaca akan diperkenalkan dengan satu teori yang dikenali sebagai teori Konstruktisvisme - teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar.

Artikel ini amat baik untuk diteliti oleh para guru dan sesiapa juga yang berminat untuk mengetahui sedikit sebanyak mengenai psikologi kanak-kanak dalam pembelajaran matematik. Adalah diharapkan, artikel ini memberi anda idea bagaimana untuk menjadikan pembelajaran matematik itu seronok, mencabar, bermakna dan berguna!

PENGENALAN

Manusia mula belajar sejak dari peringkat bayi lagi. Bayi yang baru lahir mewarisi berbagai-bagai bentuk gerakan pantulan. Contohnya apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut tanpa perlu diajar kepadanya.
Ini bererti wujud satu atur cara genetis semula jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Hari demi hari, maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi dewasa. Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecah-pecahkan menjadi pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.

Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak mempelajari matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Ada beberapa aktiviti yang membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing), dan susunan aturan (ordering).

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antaranya ialah Teori Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes.

TEORI PIAGET
Teori ini diperkenalkan oleh Jean Piaget, berasal daripada Switzerland, merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Dari kajian dan pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalui empat peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun), pra-operasi (2 – 7 tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal (11 tahun ke dewasa). Walau bagaimanapun, usia ini tidak tetap kerana ia mengikut kemampuan pelajar itu sendiri.
Menurut Jere Confrey (1999), “ Piagetian theory kindled my intense enjoyment of children and deep respect for their capabilities.”

"Guru sekolah rendah harus memberi tumpuan terhadap perkembangan murid-murid pada peringkat operasi konkrit, iaitu ketika berumur 7 hingga 11 tahun...Piaget"

Sebagai seorang guru matematik sekolah rendah, kita harus memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Ketika usia sebegini kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu, alat bantuan mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Paiget berpendapat bahawa asas pada semua pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan kepentingan interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatannya penting untuk perkembangan mental.

TEORI BRUNER
Jerome Bruner, seorang ahli psikologi yang terkenal telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).
Menurut kajian dan pemerhatian yang telah dibuat oleh Bruner dan pembantunya, Kenney, pada tahun 1963 mereka berjaya membina empat teorem pembelajaran matematik ( Mok Soon Sang, 1996) iaitu:

1: Teorem Pembinaan
Cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang konkrit.

2: Teorem Tatatanda
Tatatanda matematik yang diperkenalkan harus mengikut perkembangan kognitif murid tersebut.

3: Teorem Kontras dan Variasi
Konsep yang diterangkan kepada murid harus berbeza dan pelbagai supaya murid dapat membezakan konsep-konsep matematik tersebut.

4: Teorem Perhubungan
Setiap konsep, prinsip dan kemahiran matematik hendaklah dikaitkan dengan konsep, prinsip dan kemahiran matematik yang lain.

Selain daripada kajian tersebut, Bruner percaya bahawa kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak menguasai isi kandungan mata pelajaran dan kemahiran

Robert M. Gagne, seorang professor dan ahli psikologi yang telah banyak membuat penyelidikan mengenai fasa dalam rangkaian pembelajaran dan jenis pembelajaran matematik. Teori pembelajaran Gagne berbeza dengan Teori Piaget dan Bruner. Menurut Gagne, terdapat empat kategori yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam matematik iaitu fakta, kemahiran, konsep dan prinsip.
Gagne mempunyai hierarki pembelajaran. Antaranya ialah pembelajaran melalui isyarat, pembelajaran tindak balas rangsangan, pembelajaran melalui rantaian, pembelajaran melalui pembezaan dan sebagainya. Menurut Gagne, peringkat yang tertinggi dalam pembelajaran ialah penyelesaian masalah. Pada peringkat ini, pelajar menggunakan konsep dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang belum pernah dialami.

TEORI DIENES
Professor Zolton P. Dienes, seorang ahli matematik, ahli psikologi dan pendidik, pernah memberi banyak sumbangan dalam teori pembelajaran. Beliau telah merancang satu sistem yang berkesan untuk pengajaran matematik untuk menjadikan matematik lebih mudah dan berminat untuk mempelajari. Mengikut Dienes konsep matematik boleh dipelajari melalui enam peringkat iaitu permainan bebas, permainan berstruktur, mencari ciri-ciri, perwakilan gambar, perwakilan simbol dan akhirnya formalisasi.

Teori Dienes mengariskan beberapa prinsip bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik iaitu:

1: Prinsip Konstruktiviti
Pelajar haruslah memahami konsep sebelum memahaminya dengan analisa yang logik.

2: Prinsip Perubahan Perspeptual
Kanak-kanak didedahkan pelbagai keadaan supaya dapat memaksimakan konsep Matematik.

3: Prinsip Dinamik
Kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui pendedahan dan eksperimen untuk membentuk satu konsep.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan